Kegiatan dan kejayaan yang dicapai al-Ikhwan al-Muslimin telah tidak disenangi oleh kerajaan dan pihak British. Negara Barat mendesak Kerajaan Mesir supaya membubarkan Jemaah al-Ikhwan al-Muslimin. Pasukan tentera al-Ikhwan yang berperang di Palestin telah menunjukkan keberanian dan komitmen yang luar biasa. Justeru itu sebagai satu helah politik musuh, pada bulan November 1948, gencatan senjata telah diadakan Palestin.
Pada 8 November 1948, Perdana Menteri
Mesir mengistiharkan pembubaran al-Ikhwan. Unit-unit tentera Mesir dan
tentera al-Ikhwan yang berjuang di Palestin itu dipanggil balik. Berbagai-bagai
tuduhan dan fitnah dilemparkan ke atas al-lkhwan. Anggota-anggota al-Ikhwan
ditangkap, dimasukkan ke dalam penjara dan mereka diseksa dengan teruk,
malah ada yang dibunuh. Tindakan tersebut telah melumpuhkan sama sekali
kegiatan al-lkhwan.
Pembunuhan Imam Hasan al-Banna
Dengan alasan untuk mengendurkan(mengurangkan)
ketegangan(konflik) antara al-Ikhwan dan kerajaan, pihak kerajaan menjemput
Hasan al-Banna untuk berunding bertempat di Pejabat Jam'iyyah al-Syubban
al-Muslimin. Sebenarnya jemputan itu hanyalah sebagai helah untuk membunuh
Hasan al-Banna.
Pada 12 Februari 1949 jam 5 petang,
Hasan al-Banna bersama iparnya Abdul Karim Mansur, seorang peguam, suami
kepada adik perempuannya berada di pejabat tersebut. Mereka menunggu Menteri
Zaki Ali Basya yang dikatakan mewakili kerajaan untuk berunding, tetapi
dia tak kunjung tiba.
Akhirnya setelah selesai menunaikan solat Isya' mereka memanggil teksi untuk pulang. Ketika baru sahaja menaiki teksi yang dipanggil, dua orang matagelap menerpa ke arah teksi dan salah seorang daripada mereka terus melepaskan tembakan pistol dan kedua-dua mereka terkena tembakan itu. Iparya itu tidak dapat bergerak akibat terkena tembakan tersebut. Hasan al-Banna walaupun terkena tujuh tembakan, beliau masih mampu berjalan masuk semula ke pejabat Jam'iyyah alSyubban al-Muslimin memanggil ambulans untuk membawa mereka ke hospital.
Sampai di hospital Qasral 'Aini, mereka
dikawal rapi oleh Jeneral Muhammad al-Jazzar dan tidak membenarkan sebarang
rawatan diberikan kepada Hasan al-Banna. Pada pukul 12.50 tengah malam,
Hasan al-Banna menghembuskan nafas yang terakhir akibat tumpahan darah
yang banyak. Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un. Moga-moga Allah mencucuri
rahmat-Nya ke atas roh as-Syahid, Amin....
Pengurusan Jenazah
Pada pukul satu pagi pihak polis menyampaikan
berita kematian kepada ayah Hasan al-Banna dengan dua pilihan:
1)Pihak polis akan menghantarkan jenazah ke rumahnya untuk
beliau menjalankan urusan pengkebumian pada jam sembilan pagi tanpa sebarang
perhimpunan.
2)Jika tidak menerima tawaran pertama itu, pihak polis
sendiri terpaksa membawa jenazah dari hospital ke kubur tanpa beliau melihat
jenazah anaknya itu.
Ayah Hasan al-Banna menerima pilihan
yang pertama. Sebelum fajar menyinsing, jenazah as-Syahid dibawa ke rumahnya
di Hilmiah al-Jadid dengan sebuah kereta yang dikawal rapi oleh polis yang
lengkap bersenjata. Di sekitar rumahnya juga terdapat polis dan tentera
berkawal dengan rapi. Mereka tidak membenarkan sesiapa pun menghampiri
kawasan tersebut. Jenazah as-Syahid dibawa masuk ke rumahnya secara tidak
ada orang yang melihatnya dan tidak ada yang mengetahui masa ketibaannya.
Sheikh Ahmad Abdur Rahman, ayah Hasan
al-Banna yang sudah berusia lebih 90 tahun itu dengan penuh kesabaran memandi
dan mengkafanikan jenazah anaknya yang baru berusia 43 tahun itu seorang
diri. Setelah diletakkan ke atas pengusung, beliau memohon pihak polis
mencari beberapa orang untuk mengusungnya. Tetapi pihak polis menjawab,
biarkanlah orang-orang perempuan tolong mengusungnya.
Polis tidak membenarkan sesiapa datang
ke rumah tersebut untuk mengucapkan takziah dan tidak dibenarkan membaca
al-Qur'an. Ayah Hasan al-Banna tidak dapat berbuat apa-apa lagi. Beliau
dengan tiga orang perempuan terpaksa mengusung anaknya itu menuju ke Masjid
al-Qaisun untuk disembahyangkan. Pihak polis lebih dahulu telah pergi ke
masjid memerintah orang-orang yang ada di situ supaya meninggalkan masjid.
Sheikh Ahmad seorang diri menunaikan solat jenazah ke atas anaknya itu.
Kemudian mereka meneruskan pengusungannya menuju ke perkuburan untuk disemadikan
jenazah as-Syahid.
Pembunuhan Hasan al-Banna adalah satu
perancangan pihak istana dengan arahan Raja Farouk dan Perdana Menterinya
Ibrahim Abdul Hadi. Sebab itulah tidak ada sebarang tindakan ke atas penjenayah
dan orang yang terlibat. Kes pembunuhan ini walaupun telah dibawa ke mahkamah
beberapa kali, tetapi telah ditangguhkan. Pertama kali dibawa pada masa
pemerintahan Perdana Menteri Ibrahim Abdul Hadi. Kedua, pada masa pemerintahan
Perdana Menteri Husin Sari. Ketiga, pada zaman pemerintahan Perdana Menteri
Mustafa al-Nahhas Basya.
Pada 23 Julai 1952 satu revolusi telah
tercetus. Raja Farouk terpaksa turun dari singgahsananya. Berikutan itu,
kes ini dibuka semula. Penjenayah ditangkap dan pada 2 Ogos 1954, mahkamah
menjatuhkan hukuman seperti berikut:
* Koperal Ahmad Husin Jad dikenakan hukuman penjara
seumur hidup dengan kerja berat.
* Pemandu kereta, Sarjan-Major Muhammad Mahfuz
Muhammad dikenakan hukuman penjara 15
tahun dengan kerja berat.
* Major Muhammad al-Jazzar dikenakan hukuman satu
tahun penjara dengan kerja berat.
Kemudian setelah hubungan antara Jamal
Abdul Nasir dengan al-Ikhwan al-Muslimin semakin bertambah buruk, semua
anggota perisik yang tersebut telah dibebaskan oleh Jamal Abdul Nasir sebelum
habis tempoh hukuman yang dikenakan. Bertahun-tahun lamanya orang-orang
al-Ikhwan al-Muslimin tertanya-tanya, manakah hukuman yang dikenakan ke
atas orang-orang yang bersalah itu?
Secara umumnya jelas kepada kita Hasan
al-Banna merupakan seorang pejuang yang gigih dan berani, berjaya menyedarkan
masyarakat dengan fikrah dan pendekatan barunya dalam gerakan dakwah dan
manhaj tarbiahnya yang syumul. Walaupun beliau telah pergi menemui Ilahi,
namun fikiran dan gerak kerjanya masih menjadi rujukan dan pegangan pejuang-pejuang
dan harakah Islamiah hari ini.
Memandangkan ajaran dan arahan yang
dikemukakannya itu mempunyai nilai yang tinggi dan signifikannya yang tersendiri,
maka dicadangkan, cita-cita perjuangan al-Ikhwan al-Muslimin dan arahan-arahan
Mursyid Amnya itu kita jadikan pegangan dan panduan hidup kita, moga-moga
kita akan mencapai kemenangan dan keredaan Allah sebagaimana yang ditegaskan
oleh Hasan al-Banna sendiri katanya:
"Saya
penuh yakin, jika anda mengamalkannya dan menjadikannya sebagai cita-cita
hidup dan matlamat terakhir diri anda, balasannya ialah ketinggian di dunia,
kebajikan dan keredaan Allah di akhirat. Justeru itu anda termasuk golongan
kami, dan kami merupakan golongan anda. Tetapi jika anda melepas tangan
dan berpeluk tubuh tidak menjalankan gerak kerjanya, terputuslah hubungan
antara kami dan anda walaupun anda mengadakan berbagai majlis ceramah dan
menyandang setinggi-tinggi gelaran dan menampilkan sebesar-besar kehebatan
kepada kami. Nantilah Allah akan mengira dengan seberat-beratnya terhadap
sikap anda tidak menjalankan gerak kerja ini. Oleh itu terserahlah kepada
anda yang memilih sendiri, kami tetap berdoa untuk kami dan anda juga,
muga-muga mendapat hidayat dan taufikNya."
(Majmu'ah al-Rasa'il:3l)
***Di susun semula berdasarkan emel yang dihantar ke MSM-maling list(Majlis Syura Muslimun United Kingdom) oleh saudara:-
"From: "muhammad .m" <fikrah@hotmail.com
Subject: [msm-net] Pembunuhan
Imam Hasan al-Banna"