"Ghulu... Ghulu... Ghulu... "

Zahirnya mungkin dianggap tidak keterlaluan. Tetapi bagi kebanyakan mereka yang berilmu sememangnya mengakui hakikat bahawa perkara ini cukup merbahaya kepada para pendakwah dan umat Islam khususnya. Lahirlah di celah-celah kesesakan dakwah Islamiyah, ulama yang mahu memperbaiki kelemahan yang terdapat dalam saf  dakwah Islamiyah pada masa kini.
 
Melampau-lampau( ghulu ) di dalam hukum syarak bermaksud mengharam atau mewajibkan sesuatu tanpa dalil yang cukup sempurna bagi tujuan yang diinginkan. Berkemungkinan jika benar sahih nas atau dalil tersebut, ianya hanya berkisar sekitar hukum sunat atau makruh. Dan bukanlah daripada sifat orang-orang yang warak menghukum yang makruh itu haram dan yang sunat itu wajib atau fardu.
 
Terdapat di kalangan umat Islam mereka yang menyangka bahawa "tidak mengapa" mengharam yang makruh atau mewajibkan yang sunat. Dan mereka melihat bahawa tasyaddud(kekerasan) ini berguna untuk Islam. Sedangkan pada hakikatnya, perkara ini membelakangkan Islam dan memusuhi hukum syarak. Telah terang dan sabit dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

 "Hendaklah kamu permudahkan, dan jangan kamu menyukarkan. Dan hendaklah kamu beritakan khabar gembira dan jangan kamu menakut-nakutkan".
 
Dan sebilangan dari kalangan orang-orang awam pula beranggapan bahawa mereka yang mutasyaddidun (orang yang suka akan kekerasan dalam perkara syarak) ini adalah orang yang warak dan seikhlas- ikhlas hamba di sisi Allah. Orang-orang awam ini mengagung-agungkan mereka yang mutasyaddidun ini dengan mendapatkan fatwa daripada mereka, bahkan lebih daripada itu mereka diberikan penghormatan yang berupa hadiah serta benda.
 
Melihat keadaan ini, mereka yang mutasyaddidun ini pun memulakan "operasi" dengan mengeluarkan fatwa dengan seberat-berat fatwa fukaha mujtahidun(para ahli-ahli ilmuwan di dalam bidang Ijtihad). Mereka ini, menunjuk-menunjuk( riak ) akan warak mereka dengan mengenepikan perkara-perkara yang diharuskan oleh syarak. Semuanya dilakukan kerana ingin menguasai hati orang-orang awam dan orang-orang yang jahil tentang Islam.
 
Kita juga selalu mendengar dari mulut para pendakwah( lelaki/ perempuan ) tentang hukum-hukum yang amat berat seperti mengatakan yang ini wajib dan yang itu haram. Sedangkan pada hakikatnya kita tidak menemui baginya dalil yang sahih dan tepat. Semua ini berlaku disebabkan beberapa faktor :

1. Berpegang dengan dalil-dalil yang syubhat. Dalil itu dipegang juga kerana salah faham yang berlaku dalam diri pendakwah itu sendiri.
2. Berpegang dengan hadis yang tidak sahih atau hadis yang tidak layak untuk dijadikan hujah.
3. Berpegang dengan zahir nas(teks) tanpa merujuk kepada lain-lain sumber perundangan islam.
4. Berpegang dengan pendapat sebahagian fukaha sedangkan sebahagian fukaha yang lain mengingkarinya.
5. Sebab-sebab lain yang berhajat kepada keterangan terperinci melalui pengajian dalam bidang Ilmu Khilaf dan Usul Fiqh.

Dan termasuk juga di dalam tajuk ini ialah taksub mazhab dan ijtihad sendiri (setelah cukup syarat untuk berijtihad).  Soal melampau-lampau( ghulu ) ini timbul pabila mazhab atau ijtihad diri sendiri lebih diutamakan daripada pendapat mazhab lain yang lebih muktabar khasnya pabila pendapat mazahab atau ijtihad tersebut berlawanan dengan ijtihad diri sendiri.
 
Dan golongan yang mutasyaddid ini yang peliknya banyak sekali mencuaikan dosa-dosa besar yang telah disepakati oleh para ulama dan tidak pula memberi peringatan kepada manusia tentang dosa-dosa besar tersebut contohnya seperti :

1. Memfitnah
2. Mengumpat atau mengata sesama muslim.
3. Mencari keaiban seseorang untuk dijadikan "pemanis bicara" mulut.
4. Menggunakan tempat-tempat kebajikan umum untuk kegunaan peribadi atau hizb.
5. Merancang tipu helah untuk menjatuhkan seseorang dari kalangan orang-orang mukmin atau orang-orang yang memarahi mereka.
6. Menyebarkan berita atau khabar angin yang salah semata-mata untuk memburuk-burukkan atau menentang lawannya.
7. Dengki yang diharamkan oleh hukum syarak.

 
Oleh itu kita yang bakal bergelar para pendakwah seharusnya menjauhkan diri kita dari sifat ghulu yang keji itu. Mungkin pada pandangan kita kebaikan yang mahu kita bawa tapi sayangnya kemungkaran lain pula yang muncul  disebabkan kejahilan kita. Mungkin kerana sebab itu jugalah, Ibn Qayyim ( r.a ) tidak menganggap orang yang taksub itu sebagai ulama walaupun ilmu mereka menggunung.
 
Rujuk buku Al Basoir Lil Muslim Al Mu'asir karangan Abd.Hassan Habannakah Al Maidani untuk penjelasan terperinci.